DAUN TEPI JALAN BOLEH DIBUAT UBAT

 

Daun dukung anak atau nama saintifiknya Phyllanthus Niruri mempunyai rahsia tersendiri. .Daun pokok ini adalah dari jenis majmuk bipinat, daunnya kecil berwarna hijau yang agak gelap dan tersusun berselang seli dengan jarak lebih kurang 6-10mm. Dukung anak tumbuh di kawasan yang beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia,Thailand. Juga terdapat di China, India dan dalam kawasan antara Filipina dan cuba. Di kebanyakan tempat ia mendatangkan masalah kepada petani kerana selalunya tumbuh di kawasan pertanian dan dianggap rumpai yang sukar dikawal.

 

Akar, daun, buah, jus dan keseluruhan tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan. Perubatan ayurveda ia digunakan sebagai penghilang dahaga, bronchitis, kusta, anemia, penyakit kelenjar kencing, anuria dan asma. Boleh juga digunakan untuk mengubat penyakit berak berdarah (dysentery) yang kronik (mengikut kaedah perubatan unani dari India). Buahnya digunakan untuk mengubati luka, kerengsaan, penyakit kudis buta (scabies) dan kurap. Akarnya pula (yang masih segar) adalah penawar yang berkesan untuk penyakit kuning (jaundice) terutamanya pada bayi yang baru lahir. Daun yang telah dilumatkan dan dicampur dengan sedikit garam dapur boleh merawat jangkitan kudis buta(scabies). Jika tidak dicampur garam ia boleh ditampal pada luka dan lebam. Ia juga boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular. Tumbuhan ini juga boleh digunakan sebagai tuba(racun) ikan. Kaedah perubatan ayurveda banyak menggunakan tumbuhan ini samaada dalam bentuk tumbuhan ini dikeringkan dan dijadikan serbuk atau terus menggunakan tumbuhan ini dalam bentuk tumbuhan segar.

Antara khasiat daun dukung anak untuk penyakit – penyakit kronik :

Perlindungan Hati
Herba in lazimnya digunakan untuk merawat jaundis (sakit kuning) dan hepatitis. Di China dan India, kajian untuk menilai kesan pelindungnya terhadap hati dibuat dengan mengenakan haiwan makmal kepada toksin hati (bahan yang meracuni hati) seperti alkohol dan parasetamol. Dalam setiap kes, kesan pelindung telah terbukti. Keputusan ini menyerupai kesan pelindung hati yang terhasil oleh sejenis herba tempatan lain, iaitu Hempedu Bumi (Andrographis paniculata).

 

Anti-Hepatitis B
Pada lewat 1980-an, kalangan penyelidik dan pengamal perubatan herba telah amat terangsang berikutan ujian yang berjaya terhadap herba ini dalam menentang virus Hepatitis B, virus yang menyebabkan sejenis jangkitan beransur-ansur yang dikaitkan dengan barah hati dan dianggarkan dihidapi oleh sekitar 300 hingga 500 juta orang di seluruh dunia. Manakala sains masih sedang mencari-cari suatu rawatan yang mampu melumpuhkan virus ini dan mencegahnya daripada merebak, beberapa kajian terhadap Dukung Anak telah menunjukkan kesan antivirus yang memberangsangkan dalam menentang Hepatitis B. Namun begitu, ujian selanjutnya di tempat lain menghasilkan keputusan yang bertentangan tanpa sebarang perubahan dilihat. Perbezaan-perbezaan ini mungkin di sebabkan oleh kelainan aras kandungan bahan aktif dalam contoh-contoh yang digunakan. Dalam semua ujian ini, para penyelidik tidak mendapati sebarang kesan sampingan atau tindak balas negatif dan merumuskan bahawa herba ini selamat dan tak toksik. Sekiranya digunakan secara bergandingan dengan herba lain, Dukung Anak sekurang-kurangnya menawarkan satu rawatan alternatif yang berpotensi untuk merawat Hepatitis B.

 

Batu karang (batu buah pinggang dan batu hempedu)

Di Amerika Selatan, Dukung Anak merupakan penawar yang digunakan dengan paling meluas untuk merawat masalah batu karang, baik batu buah pinggang mahupun batu hempedu, sehingga ia digelar oleh masyarakat tempatan sebagai “Penghancur Batu”. Dalam satu kajian klinikal pada tahun 1999 (Campos, A. H. dan rakan-rakan), pati Phyllanthus Niruri telah menunjukkan kesan perencat tak berkait kepekatan yang ampuh dan berkesan terhadap pembentukan hablur kalsium oksalat (ketulan bahan bina yang menghasilkan kebanyakan batu buah pinggang). Ini boleh menjelaskan penggunaannya dalam kaedah perubatan tradisional untuk mencegah pembentukan batu buah pinggang. Herba ini dipercayai memiliki sifat-sifat unik sebagai bahan antikejang dan pengendur otot khusus bagi saluran kencing dan saluran hempedu yang, mengikut tekaan para penyelidik, memudahkan penyingkiran batu dibuah pinggang, batu di pundi kencing dan batu di hempedu.

 

Antivirus
Penyelidikan terbaru terhadap Phyllanthus Niruri menunjukkan bahawa aktiviti antivirusnya merangkumi ‘virus kurang imun manusia’ (human immunodeficiency virus) atau HIV, iaitu virus yang menyebabkan penyakit AIDS. Sekumpulan penyelidik Jepun menemukan sifat-sifat perencat virus HIV-1 pada tahun 1992 dengan satu pati ringkas daripada pokok ini. Pusat Penyelidikan Farmaseutik Bristol- Myers Squibb telah mengasingkan sekurang-kurangnya satu daripada juzuk (kandungan) pada pokok ini yang menyumbangkan kepada aktiviti ini – iaitu sebatian unik yang mereka namakan “niruriside”. Manakala dianggarkan bahawa waktu yang lama lagi masih perlu dilalui sebelum herba ini diambil masuk ke dalam senarai dadah farmaseutik piawai, ia kini digunakan oleh para pengamal perubatan herba dan kesihatan alamiah di serata dunia dalam pelbagai rumusan untuk masalah-masalah tersebut di atas. Bagaimanapun, dalam bidang perubatan pencegahanlah barangkali herba seperti Phyllanthus Niruri digunakan secara paling meluas. Keperluan ini kini menjadi sekian menyerlah dalam menghadapi ancaman semakin membesar daripada pelbagai penyakit virus yang kita tidak mempunyai sebarang rawatan ortodoks untuk menentangnya. Paling utama, herba ini tidak toksik dan bila digunakan secara bergandingan dengan herba lain, membantu meningkatkan sistem pertahanan tubuh kita terhadap toksik(keracunan) dan penyakit.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *